Sabtu, 4 Ogos 2012

Tindakan Guru, Selamatkan Murid Jadi Mangsa Tebuan

Anggota JPAM memasang peralatan untuk memusnahkan sarang tebuan

SIMPANG EMPAT - Tindakan seorang guru melaporkan sarang tebuan yang berada di dalam syiling pada salah sebuah bangunan sekolah berjaya menyelamatkan nyawa hampir 500 pelajar Sekolah Kebangsaan Kangkong, di sini semalam.

Guru, Yusof Ibrahim, berkata, dia menyedari kewujudan sarang itu apabila serangga itu terbang berkeliaran memasuki bilik darjah setiap pagi ketika sesi pembelajaran.

“Saya dan beberapa orang guru cuba mencari dari mana tebuan itu datang setelah puas mencari kami perasan tebuan telah membuat sarang pada bahagian atas syling pada bangunan kelas pelajaran pemulihan.

"Saya cuba hampiri sarang tersebut tetapi serangga berkenaan bertindak balas untuk menyerang kami,” katanya.

Menurut, Yusof ini adalah kejadian kedua di sekolahnya sebelum ini sarang tebuan dimusnahkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, Guru Pembantu Kor-kurikulum Sekolah, Nor Rizah Asmarani berkata, pihak sekolah amat menitik beratkan keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah.

"Apabila kami mendapat tahu ada sarang tebuan pada syling banguan sekolah kami terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk membantu memusnahkan sarang tebuan tersebut. Ini adalah tanggungjawab kami sebagai guru memastikan pelajar selamat ketika berada di sekolah ini memandangkan jumlah pelajar 409 yang agak ramai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM Daerah Kota Setar, Mohd Shukri Shuib berkata pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk memusnahkan sarang tebuan tersebut memandangkan sarang tebuan itu agak tersembunyi di bahagian atas syling.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan