Sabtu, 20 Oktober 2012

Jom Meriahkan Pameran ‘Save Our Earth’ Hari Ini


MIRI: Orang ramai adalah dipelawa untuk bersama memeriahkan pameran ‘Save Our Earth’ anjuran Jawatankuasa Perkhidmatan Komuniti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Miri dengan kerjasama Local Agenda 21 (LA21) pada hari ini.

Pameran berkenaan berlangsung di pekarangan pusat Membeli-belah Permy Mall Miri bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Pelbagai pameran mengenai amalan kitar semula, LA21, kesedaran persekitaran mesra alam, kempen tidak menggunakan plastik atau ‘styrofoam’ dan lain-lain.

Pameran itu bertujuan memberi serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kitar semula dan mendidik menghargai alam sekitar.

Pihak penganjur turut mengadakan kuiz kepada para pengunjung dan hadiah menarik disediakan bagi mereka yang terlibat.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai menyokong sepenuhnya aktiviti berkenaan.

Katanya, dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat aktiviti itu selaras dengan usaha untuk menjadikan Miri sebuah bandar raya hijau dan bersih.

“Justeru, kita amat berterima kasih kepada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, bukan kerajaan, badan-badan korporat dan lain-lain yang banyak membantu dan menjayakan serta memberi sokongan terhadap aktiviti sedemikian dalam usaha menghargai persekitaran dan mendidik amalan kitar semula,” katanya dalam sidang media bersama Jawatankuasa Perkhidmatan Komuniti PBSM Cabang Miri, di sini semalam.

Sehubungan itu, tambahnya, kempen tidak menggunakan ‘styrofoam’ sebagai bungkusan makanan dapat mendidik dan mempromosikan masyarakat mengamalkan aktiviti sihat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan