Rabu, 24 Oktober 2012

Mayat Lelaki Ditemui Berlumuran Darah

Kelihatan dua anggota JSJ bertugas sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan cadera di bahagian kepala dipercayai dibunuh menggunakan batu dalam kejadian yang berlaku di Batu 8, Jalan Tengah Nipah, di sini, pagi kelmarin.

Mayat itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8.30 pagi di bahagian kawasan tepi jalan, sebelum bertindak memaklumkan kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah ini, ASP Ang Seow Aun berkata pihaknya yang dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu telah bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba telah menemui mayat mangsa dalam keadaan belumuran darah dengan kecederaan teruk di bahagian kepala.

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang pekerja buruh warga Filipina dan dikenali sebagai Benbidino Sambali berusia 45 tahun.

Katanya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala itu dipercayai telah dibunuh dengan menggunakan batu.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, kita mendapati mangsa telah dibunuh dengan kepalanya dihentak menggunakan batu yang ditemui di lokasi kejadian itu,” katanya.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Lahad Datu telah mengadakan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Silabukan, Jalan Tengah Nipah dan telah menahan seorang suspek berusia 40 tahun kira-kira jam 1.30 petang pada hari yang sama.

“Kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan dan maklumat awam, yang mana pihak kita telah berjaya menangkap suspek utama kurang daripada enam jam selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang timbul antara mangsa dan suspek selepas satu sesi minum minuman keras pada malam sebelum mangsa ditemui.

“Sebelum itu, kedua-dua mereka bersama seorang lagi jirannya dikatakan telah bersama-sama minum minuman keras di Batu 10, Jalan Tungku.

“Selepas itu, mangsa yang dalam keadaan mabuk telah dibawa ke Batu 8 menggunakan sebuah kenderaan sebelum dibunuh di tempat kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam,” katanya.

Ang menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat dan suspek kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehingga kini, pihaknya masih lagi mengesan seorang lagi rakan suspek yang terlibat sama dalam kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu tampil untuk membuat laporan atau menghubungi bilik gerakan di talian 089-881255 agar tindakan segera dapat diambil terhadap suspek.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan