Gambar Hiasan
KUCHING: Sebuah pasar raya berantai di Pusat Komersial Lee Ling, Batu 4 1/2, Jalan Matang mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM7,000 apabila premis itu dipecah masuk.
Insiden itu disedari oleh seorang kakitangan kanan yang bertugas sekitar jam 9.40 pagi semalam setelah terlihat keadaan pejabat pasar raya yang berselerak serta terdapat kesan umpil pada pintu kedai (shutter).
Pemeriksaan awal yang dilakukan olehnya serta beberapa pekerja lain mendapati pencuri melarikan telefon bimbit milik pasar raya tersebut, komputer, beberapa kotak rokok yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM4,000, susu tepung dan wang tunai tidak kurang daripada RM2,000.
Bagaimanapun, pencuri gagal membuka peti besi dan kerugian sebenar belum dapat dipastikan.
Suspek dipercayai memasuki premis berkenaan dengan merosakkan shutter dan kemudiannya menebuk bahagian atas dinding pasar raya tersebut.
Suspek turut dikatakan merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudiannya turut melarikan set pemain CCTV berkenaan.
Laporan polis telah dibuat dan kes itu dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan