Selasa, 23 Oktober 2012

Pereka Fesyen Nafi Gelar Presiden Perancis Bodoh

Karl Lagerfeld bersama penyanyi Jennifer lopez dalam program televisyen Jerman

PARIS - Pereka fesyen terkenal, Karl Lagerfeld kelmarin menafikan beliau menggelar Presiden Perancis, Francois Hollande sebagai bodoh.

Beliau sebaliknya memberitahu, kenyataannya yang dilaporkan oleh sebuah majalah Sepanyol berpunca daripada kesilapan terjemahan.

"Apa yang nyata, saya tidak berkata demikian. Justeru, saya tidak perlu memohon maaf kerana saya tidak berkata begitu," jelas pereka fesyen dari Jerman yang beribu pejabat di sini kepada stesen televisyen tempatan, France 2.

"Sayang sekali, saya tidak bertutur dalam bahasa Sepanyol. Jadi, saya tidak tahu apa yang dilaporkan oleh majalah berkenaan," tambahnya.

Lagerfeld merupakan pengarah rumah fesyen terkenal Perancis, Chanel.

Menurut satu wawancara bersama majalah Marie Claire edisi Sepanyol, Lagerfeld menggelar Hollande bodoh kerana melaksanakan cukai 75 peratus ke atas individu berpendapatan tahunan melebihi 1 juta euro (RM3.98 juta).

Hollande sebelum ini memberitahu, beliau tidak menyukai golongan kaya. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan