Rabu, 3 Oktober 2012

Rogol Gadis Bawah Umur: Mekanik Dipenjara Empat Tahun


KOTA KINABALU: Seorang mekanik dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas kesalahan merogol seorang gadis berusia 15 tahun.

Mohd Nor Edyan Rahim, 26, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Ismail Brahim, selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya itu pada 5 Ogos tahun ini jam 1 pagi di sebuah bilik penginapan, Bandaran Berjaya, di sini.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Walaupun suka sama suka, tapi umur mangsa adalah di bawah 16 tahun. Kamu (tertuduh) pernah berkahwin dan tahu serta matang,” katanya kepada tertuduh yang telah bercerai.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu mangsa telah membuat laporan polis bahawa pada 4 Ogos lalu mangsa telah keluar bersama teman lelakinya.

Kedua-duanya telah mendaftar di bilik sebuah tempat penginapan. Pada hari dan masa kejadian, tertuduh dan mangsa telah melakukan persetubuhan.

Kejadian itu hanya diketahui oleh ibu mangsa pada petang hari yang sama lalu pergi membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Hasil pemeriksaan terhadap mangsa yang dilakukan pada 5 Ogos lalu mengesahkan terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Terdahulu, tertuduh memohon agar hukumannya diringankan. Namun, Timbalan Pendakwaraya Nartiah F Mirchelle Sambatan menegaskan hukuman berat harus dijatuhkan kepada tertuduh.

Nartiah berkata, tertuduh yang berusia 26 tahun merupakan seorang yang sudah cukup matang, parlimen juga memandang berat mengenai kesalahan berkenaan dan peruntukan hukuman juga adalah untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur.

Tambahnya lagi, tertuduh juga pernah mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan 12 hari oleh mahkamah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan