Rabu, 10 Oktober 2012

Rumah Ranap, Nenek Nyaris Rentung


MIRI: Seorang nenek berusia lingkungan 70 tahun nyaris maut dalam kebakaran yang meranapkan hampir seluruh kediamannya yang diperbuat daripada kayu, di kawasan setinggan berhampiran Pujut Corner di sini, petang semalam.

Nenek terbabit yang baharu habis mandi, tidak sedar bahawa rumahnya sedang terbakar sehinggalah seorang pengguna jalan raya yang lalu di kawasan berkenaan ternampak asap keluar dari jendela rumahnya.

Rosiah Ali, 50, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pusat bandar menuju ke kediamannya di Kampung Pujut Tanjung Batu yang terletak berhampiran, memberitahu bahawa dia berasa curiga dengan kepulan asap tersebut lalu singgah di tepi jalan berdekatan rumah mangsa, seraya memanggilnya.

Mangsa pada awalnya tidak percaya bahawa rumahnya sedang terbakar hingga terpaksa diyakinkan berkali-kali oleh Rosiah yang turut menghubungi bomba dan seterusnya memanggil bantuan daripada jiran tetangga mangsa untuk mengalihkan dua kereta milik anak mangsa yang diparkirkan di bawah rumah tersebut.

Ketika kejadian yang berlaku pada jam 3.50 petang itu, hanya mangsa berada di rumah tersebut.

Suami mangsa, Ngelenoh Ayu, 71, yang juga baharu balik dari kerja dan mendapati rumahnya terbakar terus meluru masuk ke dalam untuk menyelamatkan isterinya yang masih duduk dan terpaku dalam keadaan lemah.

“Saya baharu balik daripada bekerja apabila ternampak rumah saya terbakar sambil beberapa orang sedang membantu menyelamatkan harta benda di rumah saya.

“Saya terus teringatkan isteri yang berada di dalam, meluru dan mendukung dia keluar dari rumah kerana dia sudah sangat lemah,” katanya.

Menurut Ngelenoh, hanya dia dan isterinya sahaja tinggal di rumah berkenaan sejak 1974 manakala tujuh anaknya yang lain semua memiliki rumah sendiri walaupun sering datang berkunjung ke situ.

Katanya selain isteri, beliau tidak mampu menyelamatkan segala dokumen dan harta benda lain dalam rumah ter-sebut, justeru amat berterima kasih dengan tindakan pantas jirannya yang mengalihkan kereta mereka ke tempat yang selamat.

Sementara pasukan bomba dan penyelamat yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.03 petang, telah bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera pemadam api.

Menurut Pegawai Penguasa Bomba Unjar Lum, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran tersebut sepenuhnya pada jam 4.32 petang.

“Kami bernasib baik tiada kemalangan jiwa dan kecederaan yang berlaku, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan