Sabtu, 20 Oktober 2012

Sabung Ayam: Pemuda Didenda Dan Dipenjara


MIRI: Seorang pemuda didenda RM400 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret petang semalam kerana kesalahan hadir di sesi sabung ayam haram.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah tertuduh, Stanley Ricky, 22, dari Bekenu mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 3 (1) Langkah Pencegahan Penganiayaan Keatas Binatang (ayam sabung) dan dihukum di bawah Seksyen 5 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda maksima sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis di-ketuai Inspektor Faizol Ismail telah membuat serbuan ke sebuah kawasan berhampiran Jalan Alto Ladang Subis, Bekenu di sini kerana dipercayai ada kegiatan sabung ayam haram di anjurkan di kawasan tersebut.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 5.10 petang pada 12 Februari 2011, polis telah menahan tertuduh kerana didapati hadir di tempat sabung ayam tersebut yang dianjurkan tanpa mempunyai sebarang lesen atau permit sah yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan