Rabu, 3 Oktober 2012

Suspek Kesembilan Kes Bunuh Edwin Didakwa

Fauzilan

LAWAS: Seorang lelaki berusia 26 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di Limbang semalam, atas tuduhan membunuh Edwin Singa Pelupis, menjadikan jumlah suspek meningkat kepada sembilan orang setakat ini.

Laporan ahli patologi turut mendedahkan bahawa tiada pemutar skru digunakan dalam pembunuhan yang berlaku pada 21 September lalu. Suspek ditahan pada jam 1.30 petang Isnin dan dibawa ke Limbang semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau yang mengetepikan persepsi awam bahawa mangsa dibunuh menggunakan pemutar skru, berkata laporan ahli patologi mendedahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ekoran serangan menggunakan objek tumpul.

“Pemutar skru yang didakwa digunakan tidak pernah ditemui dan tiada bukti ia digunakan untuk menyerang mangsa di belakang kepala atau digunakan untuk mencalarkan tubuh mangsa,” katanya.

Suspek kesembilan itu akan dihadapkan ke mahkamah hujung bulan ini.

Pegawai penyiasat kes Inspektor Idrus Arshad daripada jabatan Siasatan Jenayah dan Inspektor Zulpaka Aidree daripada Jabatan Narkotik turut hadir pada sidang akhbar pada jam 4 petang semalam.

Fauzilan berkata polis Lawas telah meneruskan siasatan dan hanya menganggap kes itu selesai apabila suspek terakhir itu ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Mengenai spekulasi bahawa suspek-suspek khayal disebabkan dadah semasa pembunuhan, beliau berkata ujian air kencing terhadap semua suspek selepas penangkapan mereka adalah negatif dadah, termasuk syabu.

“Kami menafikan dakwaan bahawa pembunuhan adalah berkaitan dengan dadah dan polis Lawas telah menjalankan pemantauan berterusan terhadap penyalahgunaan dadah di Lawas dan mendapati bahawa situasi terkawal,” kata-nya.

Sementara itu, ketua polis berkenaan menyeru para pemimpin masyarakat, penduduk kampung dan ibu bapa memantau secara rapat pergerakan anak masing-masing untuk menghalang mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat.

Pada masa sama, Fauzilan menyatakan rasa gembira atas kerjasama semua jabatan dan unit dalam Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas yang membolehkan semua suspek didakwa di mahkamah.

Kepada orang awam, beliau menyeru kepada sesiapa yang mengetahui kegiatan jenayah di daerah ini agar memaklumkannya kepada polis atau dirinya sendiri.

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada pihak media atas laporan tepat insiden itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan