Sabtu, 20 Oktober 2012

Van Terlajak Masuk Restoran, Remaja Cedera Di Tangan

Keadaan van terbabit yang termasuk ke dalam sebuah premis restoran

KOTA KINABALU: Orang ramai yang mengunjungi pusat beli belah terkemuka di Jalan Lintas gempar apabila sebuah van secara tiba-tiba merempuh masuk di satu premis restoran kelmarin.

Impak rempuhan van terbabit ketika insiden berlaku sekitar jam 1.30 petang itu telah menyebabkan seorang remaja belasan tahun yang sedang menjamu selera bersama keluarganya cedera di bahagian tangan selepas terkena serpihan kaca.

Pemandu van jenis Nissan Urban itu, seorang wanita tempatan berusia 50 tahun, dikatakan pada mulanya mahu menghidupkan kenderaan namun tidak semena-mena telah terlajak ke hadapan lalu merempuh masuk restoran berkenaan.

Suasana panik tercetus kerana beberapa pelanggan dan kakitangan restoran berkenaan menjerit ketakutan ketika kejadian itu, lebih-lebih lagi apabila menyaksikan remaja terbabit berlumuran darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.

“Difahamkan, pemandu van terbabit tidak mengalami kecederaan manakala pelajar yang cedera di tangan telah diberi rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) sebagai pesakit luar,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan