Sabtu, 20 Oktober 2012

Wanita Didenda Dan Dipenjara Kerana Memiliki Dadah


MIRI: Seorang wanita didenda RM1,200 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret petang semalam kerana kesalahan memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Nurul Hidayah Abdullah, 36, dari Kampung Kuala Bakam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksima sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 1.78 gram.

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung dalam Bahagian 111 Jadual Pertama ADB 1952 (Semakan 2011).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Julai 2009, jam 10.20 malam di sebuah rumah di Lot 538, Jalan Padang Kerbau di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan