Isnin, 19 November 2012

Hadiah Sempena Deepavali


MIRI: Pesakit kanak-kanak di Hospital Miri menerima hadiah sempena Hari Deepavali yang disampaikan oleh Persatuan India Miri (MIA) dan Pertubuhan Hindu Miri (MHS) semalam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting dijemput untuk mengagihkan hadiah berkenaan.

Presiden MIA, Karambir Singh memberitahu aktiviti adalah yang kelapan dianjurkan bersama MHS sebagai cara memberi keceriaan kepada para pesakit.

Sebanyak 60 hadiah disediakan dan diagihkan kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan ketika perayaan diraikan.

“Adalah penting untuk kita mengingati mereka yang sedang berdepan dengan kesusahan pada setiap masa khasnya kita bergembira semasa perayaan. Deepavali merupakan Pesta Cahaya dan adalah penting untuk kita bersama-sama menerangi kehidupan orang lain,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ahli jawatankuasa khasnya Brahati Anand dan Parveen Kaur atas usaha gigih mereka mendapatkan dana dan tajaan menjayakan aktiviti kemasyarakatan itu.

Selain itu, beliau memuji semangat 1Malaysia di kalangan masyarakat India di sini yang memberi sokongan terhadap penganjuran program kebajikan dan kemasyarakatan dianjurkan oleh MIA dan MHS.

“Kita juga berterima kasih kepada Datuk Sebastian Ting, Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong, Ketua Jabatan Pediatrik, Dr Teh Siao Hean, kakitangan hospital atas sokongan dan kerjasama mereka,” jelasnya.

Hadir sama Pengerusi MHS, Selvaraj Grapragasem.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan