Mangsa masih dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak
KUCHING: Kedua-dua inspektor polis yang disyaki membelasah seorang suspek dalam tahanan telah diletakkan di bawah cuti pentadbiran sementara kes sedang disiasat.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, kedua-dua pegawai itu telah dibebaskan semalam berikutan tamat tempoh perintah reman selama tiga hari.
“Kedua-dua inspektor telah diberi cuti sementara menunggu siasatan kes itu.
“Manakala mangsa masih dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak dan masih dalam keadaan koma,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Bersama Pelanggan di Sarawak di sini, semalam.
Roslan turut menjelaskan, serangan yang didakwa adalah berlaku di dalam bangunan polis dan bukan di lokap se-perti yang dilaporkan.
“Insiden yang didakwa tidak berlaku di dalam lokap. Tiada sesiapa sewenang-wenangnya memasuki lokap termasuk pegawai, di mana kebenaran khas diperlukan untuk berbuat demikian,” katanya.
Mangsa berusia 29 tahun dari Petra Jaya telah ditangkap pada awal minggu ini selepas dia dan beberapa orang lain dikatakan menyerang dua pegawai polis terbabit berhampiran sebuah premis hiburan di sini pada Khamis lepas.
Dia juga didakwa mencuri dompet salah seorang pegawai itu semasa serangan dan kemudian menggunakan kad ATM di dalamnya untuk mengeluarkan RM6,000 dari akaun bank inspektor tersebut.
Polis mengesannya di sebuah rumah di Kampung Surabaya Hilir pada Ahad lalu dan menahannya bersama-sama dengan rakan sejenayah berusia 18 tahun, di mana waktu itulah suspek dipercayai dibelasah.
Dia dilaporkan mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Isnin lepas.
Terdahulu semalam, kedua-dua pegawai polis tersebut dihadapkan ke hadapan Pendaftar Mahkamah Brian Bryan Mason yang membebaskan mereka berikutan tamat tempoh tahanan reman.
Tidak ada dakwaan dilakukan terhadap mereka berdua yang ditahan reman sejak Selasa. Peguam Shankar Ram Asnani mewakili dua pegawai polis berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan