Jumaat, 9 November 2012

Obama Kembali Ke White House


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kembali ke White House kelmarin selepas beliau memenangi pilihan raya presiden dengan mengalahkan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.

Obama kini berdepan dengan cabaran yang sukar ekoran Dewan Perwakilan dikuasai oleh parti Republikan. Parti Demokrat yang dianggotai Obama pula menguasai Dewan Senat.

Sebelum pulang ke White House, Washington dari Chicago, Obama sempat menghubungi para pemimpin parti Republikan bagi membincangkan isu ekonomi bagi mengelak AS terjebak ke dalam kancah kemelesetan.

Beliau menghubungi Speaker Dewan Perwakilan, John Boehner dan pemimpin parti tersebut di Dewan Senat, Mitch McConnell.

Menurut seorang pegawai White House, Obama mengulangi komitmennya untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan defisit dan cukai untuk keluarga kelas pertengahan.

Pegawai itu menyatakan, kejayaannya menjadi presiden untuk penggal kedua itu merupakan isyarat daripada para pengundi yang mahu kedua-dua parti mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan penyelesaian ekonomi.

Pada pilihan raya yang diadakan pada Selasa lalu, Obama memperoleh 303 undi pemilih berbanding Romney yang mendapat 206 undi.

Sebanyak 270 undi pemilih diperlukan untuk memenangi pilihan raya presiden. Obama yang berkulit hitam mempertahankan jawatannya buat penggal kedua berturut-turut. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan