Selasa, 13 November 2012

Kes Pecah Rumah Di Kanowit Selesai


KANOWIT: Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmood yakin kes pecah rumah yang berlaku di sebuah rumah milik tauke kopitiam pada 6 November lalu di sini hampir selesai.

Beliau mengucapkan syabas kepada pihak polis Sarikei kerana berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut di parkir kereta di hadapan sebuah hotel di Sarikei pada jam 1.45 pagi 7 November.

“Kami percaya dengan penahanan empat orang suspek tersebut, kami boleh katakan kes ini mampu diselesaikan,” kata Ismail dalam satu sidang akhbar di sini pagi semalam.

Kes pecah rumah yang berlaku pada 6 November di Pine Court dekat sini telah melibatkan kerugian sebanyak RM80,000 termasuk wang tunai sebanyak RM5,000 kepada ahli keluarga pemilik rumah berkenaan.

Menurut laporan, tiga suspek lelaki berkenaan telah ditahan oleh polis peronda MPV Sarikei ketika mereka mahu memasuki sebuah kereta Toyota Wish berwarna hitam pada awal pagi tersebut.

Polis peronda yang ternampak mereka dalam keadaan mencurigakan bertindak untuk melakukan pemeriksaan terhadap tiga suspek tersebut.

Katanya semasa pemeriksaan dilakukan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira berwarna biru yang diparkir bersebelahan dengan kereta Wish berkenaan memecut laju.

Apabila ditanya tiga suspek berkenaan memberitahu kepada polis bahawa pemandu kereta Proton Wira tersebut adalah seorang daripada mereka.

Pasukan polis peronda tersebut terus menahan mereka dan menahan seorang lagi suspek wanita yang sedang berada di bilik hotel tersebut.

Ismail berkata, tiga suspek lelaki terbabit iaitu dua dari Siburan dan seorang dari Tapah kini telah dibawa ke Balai Polis Kanowit untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Manakala suspek wanita yang berasal dari Tapah dan merupakan teman wanita suspek dari Tapah kini ditahan Polis Narkotik Sarikei.

“Kami telah mendapatkan perintah mahkamah di sini untuk mereman ketiga-tiga suspek selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

Katanya, antara barangan curi yang berjaya dirampas termasuk dua kamera, dua lensa, dua komputer riba, dua hard disk, sebuah peti besi keselamatan kosong yang telah diumpil, sedikit syiling, wang kertas mata wang Thailand sebanyak 200 baht dan pelbagai aksesori perhiasan tubuh.

Ismail menambah bahawa seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai menggunakan Proton Wira berwarna biru masih bebas.

Katanya sebuah televisyen 60 inci, barang kemas dan wang tunai masih belum ditemui. Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek termasuk seorang wanita yang masih ditahan oleh polis Sarikei merupakan penagih dadah dan salah seorang daripada suspek lelaki disahkan positif HIV dan mereka merupakan kumpulan jenayah tersendiri dan bukan bersindiket.

Ismail berkata kes pecah rumah tersebut yang berlaku pada waktu siang di kawasan perumahan Kanowit merupakan kes yang julung kali berlaku di sini.

“Saya berharap orang ramai mengamalkan semangat kejiranan dan lebih peka serta berwaspada akan masalah persekitaran di tempat kediaman mereka yang mencurigakan,” Kata Ismail sambil menyeru mereka untuk bertindak pantas memaklumkan kepada pihak polis.


1 ulasan:

  1. padan muka...Kasihan kepada mangsa yang dicerobohi rumah...lebih baik dikenakan hukuman potong tangan supaya tak akan panjang tangan lain kali.

    BalasPadam