Bill Clinton dan Obama pada satu kempen pilihan raya di Bristow, Virginia
WASHINGTON - Pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung esok dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah negara ini.
Pada pilihan raya itu, Presiden AS, Barack Obama mempertahankan jawatannya buat kali kedua dengan menentang bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney daripada parti Republikan.
Obama daripada parti Demokrat memenangi pilihan raya presiden AS pada tahun 2008 dengan menewaskan pencabarnya daripada parti Republikan, Senator John McCain.
Satu tinjauan pendapat yang disiarkan Wall Street Journal/NBC News semalam menunjukkan Obama memperoleh sokongan sebanyak 48 peratus manakala Romney mendapat 47 peratus.
Tinjauan pendapat itu dilakukan terhadap 1,475 pengundi di seluruh negara.
Obama dan Romney yang juga seorang jutawan menggunakan hari-hari terakhir untuk berkempen di beberapa buah negeri sebelum pengundian berlangsung.
Presiden AS itu akan berkempen di New Hampshire, Florida, Ohio dan Colorado. Romney pula akan berkempen di Iowa, Ohio, Pennsylvania dan Virginia.
Presiden AS dipilih bukan melalui undi popular tetapi sebaliknya mereka perlu memenangi 270 undi pemilih untuk menduduki White House.
Dalam satu tinjauan pendapat terbaharu ABC News/Washington Post semalam, Obama dan Romney memperoleh sokongan yang sama banyak iaitu 46 peratus.
Tinjauan pendapat itu mendapati ramai golongan muda dan wanita yang menyokong Obama. Golongan tua pula lebih berminat memberi sokongan kepada Romney.
Pada hari-hari terakhir kempen, Obama meminta beliau diberikan mandat sekali lagi bagi membolehkannya menyelesaikan semua kerja-kerjanya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan