Isnin, 5 November 2012

Katak Berjari Tiga Spesies Baharu

Katak kecil berjari tiga

BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli biologi, Michel Garey.

"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari tiga," kata Garey.

"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.

Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.

Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.

Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.

Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.

Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di seluruh dunia. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan