Rabu, 1 Ogos 2012

3,800 Penduduk Lega Dapat Air

Sohaimi (kanan) membantu mengagihkan air kepada penduduk Taman Putra Budiman

KUALA LUMPUR - Keperitan hidup kira-kira 3,800 penduduk Taman Putra Budiman, Balakong dekat sini, yang keputusan bekalan air sejak seminggu lalu berakhir semalam apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menghantar bekalan air bersih kepada mereka.

Pihak Syabas telah menghantar sebanyak enam buah lori tangki air bersih kepada penduduk di situ bermula sejak pukul 4 petang semalam untuk diagihkan kepada penduduk.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, penduduk di kawasan terbabit telah menderita sejak seminggu lalu ekoran ketiadaan bekalan air untuk kegunaan seharian.

Menurutnya, penduduk di situ terseksa ekoran bekalan air di tempat mereka terpaksa dicatu kerana bekalan air di loji imbangan Hulu Langat tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk yang ramai di kawasan Balakong.

"Krisis air ini bukanlah satu perkara baharu sebaliknya ia sudah menjadi satu isu yang menghimpit penduduk khususnya di kawasan Balakong dan Seri Kembangan. Pihak yang bertanggungjawab harus memikirkan cara penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah yang sedang melanda rakyat ketika ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan