Rabu, 1 Ogos 2012

Penduduk Taman Tunku Bakal Mempunyai Pasar Malam

Ripin Bin Lamat

MIRI: Penduduk di Taman Tunku, Miri dan kawasan sekitarnya bakal mempunyai pasar malam untuk kemudahan peniaga terutamanya pengusaha kecil dan sederhana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat mencadangkan perkara berkenaan kerana populasi di kawasan itu adalah ramai.

“Sudah tiba masanya penduduk di kawasan ini mempunyai pasar malam sendiri yang teratur,” katanya ketika mengadakan lawatan ke sekitar Taman Tunku, Miri semalam.

Menurutnya, kewujudan pasar malam itu nanti merupakan serampang dua mata khususnya dengan mendatangkan kebaikan kepada penduduk kawasan berkenaan.

“Ia merupakan kemudahan kepada penduduk di sini untuk membeli barangan dan menyuburkan ekonomi di kawasan ini sendiri,” jelasnya.

Sebagai contoh, seorang suri rumah boleh mempertingkatkan pendapatan isi rumah dengan berniaga di pasar malam.

“Sedikit sebanyak perbelanjaan sekolah anak-anak dapat ditampung melalui aktiviti berniaga di pasar malam itu nanti,” kata Ripin.

Sebelumnya, beliau turut melawat satu kawasan tanah lapang terletak di Taman Jelita untuk dijadikan kawasan riadah dan padang.

“Kami sedar bahawa kawasan dan tempat rekreasi amat diperlukan di kawasan Taman Tunku ini,” katanya.

Untuk itu, beliau menyatakan bahawa beliau akan melakukan tindakan selanjutnya dan berjumpa dengan pihak berkaitan.

Dalam kesempatan itu juga, Ripin sempat bertemu dengan peniaga di Tamu Pasar Taman Tunku (Bumiputera) dan sempat mendengar rintihan mereka.

“Saya akan utarakan supaya atap ditambah dan kemudahan air diberikan kepada peniaga di sini,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan