Kereta Soon Hup yang remuk teruk selepas melanggar tembok batu dan tiang lampu
MUAR - Seorang pemborong otak-otak terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit sebelum maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Chia Soon Hup, 31, yang berasal dari Jalan Jabbar, Parit Jawa dekat sini disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Muar dikatakan hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota yang dipandunya masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh tembok jalan dan tiang lampu.
Ekoran rempuhan itu, kenderaan mangsa remuk teruk dan Soon Hup tersepit di tempat duduk pemandu.
Pegawai Operasi Kanan I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah di kepala akibat terhantuk pada stereng.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Ang, 50-an memberitahu, sebelum kejadian, penduduk setempat mendengar bunyi dua dentuman kuat yang pada mulanya disangka bunyi guruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan