Empat ahli sindiket Black Water dijatuhi hukuman penjara
KLANG - Empat anggota sindiket curi kereta Black Water masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mereka mengaku bersalah terhadap 196 pertuduhan menerima dan menolong menyembunyikan 98 kereta curi pada Jun tahun lepas.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan keempat-empat lelaki itu, Sim Cee Wei, 29, Lau Kuan Zui, 40, Wong Ooi Kay, 35, dan Tan Ching Swee, 41, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Jun tahun lepas.
Cee Wei, Kuan Zui, Ooi Kay dan Ching Swee didakwa atas 95 pertuduhan menerima kereta curi di No. 1, Lot 8638, Kampung Black Water off Jalan Banting-Klang di sini pada pukul 5 petang 29 Jun tahun lepas.
Mereka juga didakwa melakukan tiga kesalahan sama di Lorong Batu Nilam 21B, Bandar Bukit Tinggi di sini pada pukul 6 petang tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mereka juga didakwa atas 95 pertuduhan menolong menyembunyikan kereta curi itu di Kampung Black Water, dan tiga lagi pertuduhan sama di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi pada waktu dan tarikh yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan