Y.Meysshvin, 6 bulan melecur 70 peratus di muka dan badan
BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan berada dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk dalam kebakaran sebuah rumah pangsa tingkat 4, Mak Mandin di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.36 pagi itu, Y. Meysshvin, yang melecur 70 peratus di muka dan badan sedang tidur apabila api dipercayai dari tempat sembahyang rumah terbabit terjatuh lalu terbakar dan merebak ke seluruh rumah.
Bagaimanapun, bayi tersebut diselamatkan oleh jiran berhampiran yang terdengar tangisan bayi dari rumah terbabit.
Penjaga bayi itu, G. Sarojah, 48, berkata ketika kejadian bayi itu sedang tidur di dalam buaian dan dia tiada rumah.
“Saya tinggalkan bayi itu kerana saya pergi ke pasar yang terletak di bawah rumah. Apabila pulang saya dapati rumah saya telah terbakar,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata bayi itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang pada jam 12 tengah hari untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata sepasukan tujuh anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.36 pagi.
“Semasa kami sampai bayi berkenaan telah diselamatkan oleh jiran-jiran yang memecah masuk ke rumah itu,” katanya.
Mohamad Shoki berkata bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan 90 peratus rumah tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan