Khamis, 16 Ogos 2012

Mohon Tiga Bulan Awal Jika Ingin Tangguh Laksana Gaji Minimum


KUCHING: Majikan yang ingin memohon penangguhan pelaksanaan gaji minimum yang ditetapkan mulai 1 Januari 2013 diminta mengemukakan permohonan dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh tersebut.

Perintah Gaji Minimum 2012 menggariskan mana-mana majikan yang memiliki lebih lima pekerja dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja, dikehendaki mematuhi peraturan baharu itu.

Gaji minimum juga diwajibkan dikenakan terhadap majikan yang mempunyai lima atau kurang pekerja pada 1 Julai 2013.

Permohonan pengecualian perlu dikemukakan dalam 90 hari sebelum tarikh kuat kuasa perintah baharu ini dan ia boleh dialamatkan kepada “Setia- usaha, Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia, Aras 7, Blok D3, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya.”

Talian untuk dihubungi ialah 03-88865156/5162, atau faksimile 03-88892377 atau e-mel kepada mpgn@mohr.gov.my.

Perintah Gaji Minimum dilaksanakan dengan membabitkan kadar gaji minimum bagi Sabah, Sarawak dan Labuan ialah RM800 sebulan atau RM3.85 sejam. Manakala di Semenanjung Malaysia ia dibayar RM900 atau RM4.33 sejam.

Sementara itu, kadar gaji minimum itu juga boleh dikurangkan bagi pekerja yang masih dalam tempoh percubaan.

Pengurangan itu bagaimanapun tidak dibenarkan lebih daripada 30 peratus daripada kadar gaji minimum, RM800.

“Peratusan sebenar pengurangan kadar gaji minimum tidak melebihi peratusan yang dinyatakan boleh dibuat berdasarkan persetujuan antara majikan dengan pekerja yang berkenaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, semua perintah majlis penetapan gaji yang dibuat di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 (Akta 195) hendaklah dibatalkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan