KEMAMAN - Seorang ibu muda merayu bantuan sebanyak RM20,000 bagi membolehkan pembedahan jantung kali kedua dilakukan terhadap bayi sulungnya berusia 10 hari.
Wan Norshafieka Wan Shaharuddin, 18, yang masih berpantang di rumah ibu mertuanya di Kampung Mak Lagam di sini manakala bayi lelakinya, Mohd. Aiddil Idham dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dengan ditemani suaminya, Mohd. Faizal Azuan Mohamood, 20.
Wan Norshafieka berkata, bayinya itu dilahirkan secara normal di Hospital Kemaman pada 23 Julai lalu, namun ketika menerima suntikan BCG beberapa jam selepas dilahirkan, tubuh bayi itu secara tiba-tiba bertukar menjadi biru-kebiruan.
"Petugas hospital kemudian merujuk bayi saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan doktor mengesahkan bayi saya mengalami masalah jantung dan menerbangkan anak saya ke IJN dengan ditemani suami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Wan Norshafieka, bayinya itu telah menjalani pembedahan secara laser di IJN dan kini menunggu keadaannya stabil supaya pembedahan kali kedua dapat dijalankan segera bagi membetulkan saluran darahnya.
Apa yang merunsingkan ibu muda yang tidak bekerja itu ialah selain kos pembedahan kedua sebanyak RM20,000 yang tidak mampu dikumpulnya, beliau dan suami turut dibebani kos pembedahan pertama sebanyak RM6,000 yang belum mampu dijelaskan. Suaminya bekerja sendiri dengan pendapatan purata RM700 sebulan.
Beliau yang kini amat merindui bayinya itu berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kerana ingin melihat bayi sulungnya itu membesar seperti bayi normal selepas pembedahan kedua itu kelak.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Tabung Haji Wan Norshafieka bernombor 120301000015289.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan