Jumaat, 3 Ogos 2012

Tembakan Di Kepala Punca Kematian Ahli Perniagaan


MIRI: Polis Miri mengesahkan kematian seorang ahli perniagaan terkenal dalam insiden tembak mati di sini baru-baru ini adalah berpunca daripada kesan tembakan yang mengena bahagian kepala sebelah kanan mangsa. Ketua Polis Daerah

Miri Asisten Komisioner (ACP) Mun Kok Keong mengesahkan perkara itu selepas menerima laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa, Ma Yik Leong, 48, yang dilakukan oleh ahli patologis, Dr Jamil Dolkadir daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) petang semalam.

Menurutnya, hasil bedah siasat terbabit mengesahkan mangsa mengalami dua kesan tembakan iaitu masing-masing satu di kepala sebelah kanan dan bawah ketiak kanan hasil dua das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit dari jarak dekat.

“Berdasarkan dua butir peluru yang ditemui dalam badan mangsa, kami percaya senjata yang digunakan penjenayah terbabit adalah pistol jenis Revolver,” katanya.

Dalam pada itu menurut Mun, hasil bedah siasat yang dilakukan ahli patologis terbabit juga mengesahkan tembakan yang mengena bahagian kepala mangsa yang menyebabkan mangsa mati sertamerta di tempat kejadian, sementara tembakan di bawah ketiak sekadar mencederakannya.

Sementara itu, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5.45 petang Isnin lalu, mangsa yang memandu seorang diri maut di tempat kejadian setelah dua das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian kepala dan bawah ketiak sebelah kanannya.

Kejadian tembak itu menggemparkan penduduk di bandar raya Miri apatah lagi ia berlaku ketika waktu puncak, ramai orang balik dari bekerja dan sebilangan lagi bergegas untuk berbuka puasa.

Kelihatan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang insiden tersebut.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Prado berwarna putih dipercayai sedang berhenti di lampu isyarat terbabit apabila tiba-tiba ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dipercayai pembunuh upahan.

Kereta mangsa kemudian ditemui berhenti pada jarak kira-kira 70 meterdari lampu isyarat terbabit dengan mangsa sudah terkulai kaku di tempat duduk pemandu. Dua kesan tembakan turut kelihatan pada cermin sebelah pemandu.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan terkenal dengan mempunyai rangkaian perniagaan yang pelbagai di bandar raya ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan