Sabtu, 18 Ogos 2012

Kemerdekaan Indonesia Di Rai Sederhana

Djoko mengetuai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 Republik Indonesia di Kuching 

KUCHING: Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 Republik Indonesia semalam disambut meriah dan secara sederhana oleh warganya di premis Konsulat Jeneral Republik Indonesia di sini.

Majlis yang dihadiri pelbagai latar belakang dan pekerjaan termasuk pelajar yang dimulakan dengan aktiviti pengibaran ‘Sang Merah Putih.’

Program yang bermula pada jam 8.30 pagi semalam turut menyaksikan acara penyampaian hadiah bagi pertandingan yang diadakan sebelumnya.

Konsul Jeneralnya Djoko Harjanto dalam ucapannya berkata, acara berkenaan diadakan bagi memperingati kemerdekaan yang dikecapi republik itu setiap 17 Ogos sejak merdeka pada tahun 1945.

“Hari ini dan pada hari akan datang, kita harus memahami makna kemerdekaan dengan lebih mendalam.

“Kemerdekaan tidak hanya membebaskan kita daripada ditindas sebaliknya menggalakkan kita untuk terus bekerja gigih serta perpaduan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kemerdekaan bukan hanya sekadar satu peristiwa istimewa yang disambut saban tahun sebaliknya membantu menyelesaikan masalah besar bersama bangsa dan negara lain.

Djoko menjelaskan kemerdekaan tidak hanya mengukuhkan jati diri tetapi juga satu anjakan untuk bersama bangsa-bangsa lain dalam perkongsian ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Disebabkan semua ini, sesungguhnya kemerdekaan adalah sebuah jambatan untuk kita mewujudkan bangsa dan negara Indonesia yang lebih adil, makmur, unggul dan bermaruah,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching kini turut menyediakan peguam sendiri kepada rakyatnya yang menghadapi kes undang-undang termasuk yang dijatuhkan hukuman mati.

Djoko berkata, konsulat akan terus berjuang untuk mendapatkan keadilan kepada rakyatnya bagi mendapatkan pengampunan serta meringankan hukuman.

Menurut beliau, menyedari jumlah warga Indonesia yang ramai bekerja di luar negara khususnya di Sarawak dalam pelbagai pekerjaan, tidak kurang di antara mereka terlibat dalam masalah hukuman di tempat bekerja.

“Di samping itu, konsulat terus aktif memohon pengampunan atau meringankan hukuman itu baik secara lisan atau sebaliknya, kerajaan kita juga telah membentuk sebuah Unit Tugas.

“Ia secara khususnya untuk melaksanakan misi diplomasi dan keupayaan undang-undang yang amat penting ini,” ujarnya.

Menurut Djoko, malah ada warga Indonesia di sini didakwa dengan tindakan jenayah berat seperti pembunuhan dan dadah, sehingga ada dalam kalangannya dijatuhkan hukuman mati.

Beliau menegaskan, begitu juga dengan persoalan tenaga kerja mereka di Sarawak, konsulat akan terus menjalankan diplomasi dan rundingan dengan kerajaan tempatan.

Katanya, melalui Memorandum Persefahaman yang tepat untuk tenaga kerja Indonesia, ia boleh memberikan perlindungan yang baik dan menjamin hak serta keadilan kepada warga negara itu.

“Bagaimanapun, kita bersyukur meskipun usaha ini bukan perkara yang mudah namun ia telah mula menunjukkan hasil.

“Sejumlah daripada warga Indonesia yang dijatuhi hukuman mati telah mendapat pengampunan dan hukuman mereka diringankan,” kata beliau.

Djoko dalam pada itu memberitahu sehingga kini kira-kira 248 orang warga Indonesia dalam tahanan di sekitar Kuching, Miri, Sibu, Sri Aman serta Limbang dan kebanyakan mereka didapati bersalah kerana tidak mempunyai dokumen sah atau permit.

Sementara dalam perkembangan lain iaitu kes kematian warga Indonesia di Sarawak beliau menjelaskan, sehingga April 2012 sebanyak 55 kematian dicatatkan.

Katanya, pada tahun 2009 sebanyak 59 kematian warga Indonesia dicatatkan sementara tahun 2010 iaitu 56 kematian dan ia meningat secara drastik pada tahun 2011 iaitu 117 kematian.

“Namun kebanyakan kes ini berlaku berpunca dari kemalangan di tempat bekerja dan sakit selain lemas dan akibat pergaduhan, iaitu hanya kes terpencil sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis.

Beliau memberitahu sehingga kini seramai 236,000 rakyat Indonesia secara sah bekerja di seluruh Sarawak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan