Sabtu, 18 Ogos 2012

Terminal Penumpang Sesak, Orang Ramai Balik Kampung

Orang ramai berbaris menunggu giliran untuk menaiki bot ekspres

SIBU: Cuti sekolah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula kelmarin memberi peluang kepada warga bandar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal.

Tidak kurang ada yang mengambil kesempatan itu untuk membeli-belah dan membuat persiapan Hari Raya pada saat akhir.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar Terminal Penumpang Sibu (TPS), lokasi yang akan sesak setiap kali musim perayaan, mendapati rata-rata umat Islam di sini sudah bersedia untuk menyambut hari kemenangan setelah menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Menurut Ratna Haris, 51, dia membuat persiapan awal-awal lagi kerana khuatir jika dibuat pada saat-saat akhir akan mengundang banyak masalah. “Persiapan untuk menyambut Hari Raya telah saya buat awal-awal lagi.

“Sekarang ini, hanya tinggal untuk menyediakan perkara-perkara kecil sahaja lagi,” ujar Ratna yang sedang menunggu bot ekspres ke Penasu untuk pulang berhari raya.

Katanya, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk membuat persiapan lebih awal setiap kali menjelangnya Hari Raya.

Menyentuh mengenai aktiviti dan rancangan menyambut Hari Raya tahun ini, Ratna memberitahu, seperti tahun sebelumnya dia akan pergi ke rumah sanak saudara dan sahabat handai yang sudah lama tidak diziarahi.

“Saya tidak sabar-sabar lagi untuk membawa cucu sulung saya menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai,” katanya.

Sementara itu, seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batang Igan, Suhaimi Sakli, 26, ketika ditemui memberitahu dia sanggup ke bandar ini terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halamannya sungguhpun kampungnya terletak lebih dekat dengan sekolahnya.

“Saya ke sini untuk membeli keperluan Hari Raya kerana sebelum ini saya tidak mempunyai masa untuk melakukannya.

“Selain itu, saya juga ingin berjumpa kawan-kawan yang tinggal di sini,” ujar Suhaimi yang hendak bergerak pulang ke kampungnya di Kampung Pangtray, Daro.

“Balik kampung adalah satu kemestian kerana ia sudah menjadi budaya kita di Malaysia setiap kali musim perayaan,” katannya.

Menurut Bakri Hussein, 50, pula, Hari Raya tahun ini akan disambut secara sederhana serta penuh dengan kesyukuran.

“Sambutan tahun ini kita buat sederhana tetapi meriah, lagipun Islam menuntut umatnya agar bersederhana dalam segala hal dan tidak membazir,” kata Bakri yang juga seorang penjawat awam.

Bakri menambah, segala kelengkapan dan keperluan Hari Raya sudah dibeli di bandar ini ekoran lebih banyak pilihan berbanding di kampung.

“Di sini barang banyak pilihan, murah-murah pula,” katanya.

Ketika ditanya mengapa memilih perkhidmatan bot ekspres untuk pulang ke kampung, dia menjawab: “Sejak dahulu lagi sudah menggunakan bot ekspres, kelebihannya ia lebih cepat daripada menggunakan jalan darat.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan