Sabtu, 11 Ogos 2012

Kerana Dendam, Buruh Mati Dipukul


HULU TERENGGANU – Gara-gara perselisihan faham dan dendam, seorang buruh maut setelah dipukul menggunakan objek keras dalam satu pergaduhan di Kampung Tajin Banggol di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berumur 24 tahun didatangi tiga lelaki berusia antara 20 dan 23 tahun yang bertindak membelasah mangsa berhampiran sebuah bengkel motosikal.

Timbalan ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, kejadian itu adalah rentetan perselisihan faham antara mangsa dan seorang daripada suspek beberapa jam sebelum insiden.

Kira-kira pukul 9.45 malam Selasa, mangsa dipercayai menampar muka suspek dan kedua-duanya dipercayai mabuk.

Berang dengan tindakan itu, suspek kemudian membawa dua rakannya membelasah mangsa, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Mangsa juga dipercayai dihentak ke lantai dan dipukul sehingga pengsan, sebelum diseret dengan motosikal sejauh 700 meter dan dicampak di hadapan rumah mangsa,” katanya.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Hulu Terengganu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira 9 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan