Sabtu, 11 Ogos 2012

Sepasang Suami Isteri Didakwa Perdagang Orang


TAIPING – Sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah restoran nasi kandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap lima pertuduhan memperdagangkan manusia pada April lepas.

Abdul Wahab Abdul Rahman, 34, dari Taman Sg Emas, Simpang dekat sini, didakwa memperdagangkan empat lelaki rakyat India dan seorang wanita warga Indonesia di Restoran Nasi Kandar Nur Amin, Jalan Taman Kami C, Aulong pada 5.05 petang 17 April lalu.

Tertuduh didakwa mengeksploitasi mangsa, Thankappan Sankar, Balachandar Chellakannu, Saravanan Raman, Muthu Pandian Jeyaraman dan Rika Karo Karo yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu sebagai buruh paksa.

Sementara itu, isterinya Mazzuen Abdul Majid, 32, juga didakwa atas lima pertuduhan yang sama kerana bersubahat dengan suaminya.

Hakim Azuar Che Yusof membenarkan Abdul Wahab diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, manakala isterinya RM40,000 dengan seorang penjamin.

Azuar menetapkan empat hari mulai 5 Sept ini untuk perbicaraan kes tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan