Sabtu, 18 Ogos 2012

Kes Tiga Buruh Tinggal Lebih Tempoh Ditangguh 28 Ogos


MIRI: Mahkamah Majistret petang kelmarin menangguhkan sehingga 28 Ogos ini untuk sebutan lanjut kes tiga buruh binaan warga asing dalam tiga kes berasingan yang dituduh tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles memandangkan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud yang sepatutnya mendengar kes tersebut kini sedang bercuti.

Mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh terbabit supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.

Ilyas, 30, Sawaki, 23, kedua-duanya dari Sampang dan Kiong, 19, dari Entikong, Indonesia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kesemua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama dan kedua, Ilyas serta Sawaki telah ditangkap masing-masing pada jam 5 dan 5.05 petang, 10 Ogos lalu di tapak pembinaan rumah, Jalan Airport di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tertuduh telah tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah yang dibenarkan dalam pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya.

Manakala dalam kes ketiga, Kiong telah ditangkap pada jam 4.50 petang, 9 Ogos lalu di Hap Hing Maintenance Trading Company, Lot 2494 Jalan Kuching, Taman Tunku di sini kerana didapati melakukan kesalahan serupa.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mary Ong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan