MIRI: Dua lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pagi kelmarin terhadap tuduhan memiliki dadah berbahaya.
George Lee Joon Lung dari Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku dan Ku Chin Yeung dari Lot 491, Jalan Riam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, didapati ada memiliki suatu bahan seberat 43 gram (berat kasar) disyaki dadah berbahaya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.55 tengah hari, 8 Ogos lalu di sebuah premis di Bintang Plaza Shopping Complex di sini.
Setelah mendengar pengakuan tidak salah kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 13 September depan untuk sebutan lanjut kes.
Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin tunai masing-masing RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan