Khamis, 16 Ogos 2012

Kes Umat Islam Tidak Hormat Ramadan Menurun


KUCHING: Kes membabitkan umat Islam tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan di khalayak ramai pada bulan puasa tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lepas.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat kelmarin Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah menangkap 62 orang Islam yang makan di khalayak ramai sepanjang 25 hari umat Islam berpuasa.

“Kita telah menangkap 62 orang Islam yang makan di khalayak ramai setakat semalam (kelmarin). Mereka ini akan didakwa di Mahkamah Syariah dan bagi kesalahan pertama denda RM1,000 akan dikenakan atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, tahun ini jumlah yang ditangkap bagi tempoh sama berkurangan dengan hampir 100 orang ditangkap melakukan kesalahan sama tahun lepas. Ini berita yang baik dan kita berharap jumlah itu lebih kecil pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sebanyak RM221,453 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), semalam.

Penyerahan zakat perniagaan itu dilakukan oleh Pengerusi PUSAKA yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mewakili TBS pada majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya di sini.

Daud yang juga Pengerus Lembaga Baitumal dan Waqaf berkata, penguatkuasaan yang dilancarkan JAIS bukan bertujuan mengadili orang Islam yang tidak berpuasa, tetapi mengingatkan mereka agar menghormati bulan puasa dan orang lain yang berpuasa.

“Kalau beli bungkus, itu tiada masalah. Yang menjadi masalah ialah mereka makan di khalayak ramai. Yang menjadi isu mereka makan orang lain tengok. Itu tidak manis.

“Ini yang kita ambil tindakan, kalau beli bungkus dan makan di pejabat atau mana-mana pun dengan tidak mendedahkan kepada orang ramai kita tidak akan mengambil tindakan.

“Kita bukannya mahu menghukum mereka, itu antara mereka dan Tuhan tetapi mengingatkan mereka supaya menghormati bulan puasa dan orang di sekeliling,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan