Khamis, 16 Ogos 2012

Empat Lagi Suspek Kes Bunuh Pengurus Bank

Direman: Salah seorang suspek diiringi keluar oleh polis dari Mahkamah Majistret 

SIBU: Empat lagi suspek yang kesemuanya lelaki ditahan polis awal pagi semalam untuk membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan kejam seorang pengurus bank di rumahnya di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Julai lepas.

Kesemua mereka telah diarah oleh Mahkamah Majistret petang semalam untuk menjalani perintah reman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos.

Keempat-empat suspek tersebut ditahan secara berasingan dalam operasi bersepadu polis selama dua jam bermula dari jam 4 pagi.

Suspek berumur 24 tahun ditahan di Jalan Brooke Drive setelah pasukan polis mendapati dia tidak berada di kediamannya di Jalan Deshon di sini.

Manakala suspek yang seterusnya berumur 27, 38 dan 43 tahun masing-masing ditahan di Jalan Merdeka, Jalan Rejang Park dan Jalan Permai kemudian.

Dua suspek yang berumur 38 dan 43 tahun merupakan adik-beradik. Operasi tersebut berjalan dengan lancar dengan kerjasama pihak polis dari Bukit Aman dan IPK Sarawak.

Sebelum ini, isteri pengurus bank dan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual kereta terlebih dahulu dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan kes tersebut. - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan