KUCHING: Mayat seorang lelaki dijumpai di sebatang sungai di Siburan di sini yang dipercayai terkena kejutan elektrik semasa menangkap ikan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, mayat tersebut ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari oleh seorang anggota polis selepas melihatnya terapung di sungai tersebut yang terletak di Jalan Fisherman Park, Siburan.
Anggota polis tersebut kemudian turut melaporkan mengenai penemuan tersebut di Balai Polis Siburan.
“Tiada dokumen peribadi ditemui pada mayat tersebut dan kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya sambil menambah mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap mayat tersebut mendapati mangsa kemungkinan terkena kejutan elektrik ketika manangkap ikan menggunakan arus elektrik.
“Dipercayai mangsa pergi ke sana untuk menangkap ikan dengan menggunakan alat elektrik di mana terdapat lima biji bateri motosikal telah diubah suai diletakkan di dalam tong plastik yang disangkut pada belakangnya.
“Selain itu, terdapat penyangkut ikan dan besi pencucuh ikan masih terlekat pada kedua-dua belah tangannya,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, terdapat kesan melecur pada bahagian pergelangan tangan kanan mangsa namun tiada unsur jenayah dikenal pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan