Khamis, 9 Ogos 2012

Pantau Restoran Orang Islam Dibuka Lebih Awal

MIRI: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) harus memantau operasi restoran-restoran orang Islam yang dipercayai dibuka lebih awal.

Aktivis Masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar mendapat maklum balas bahawa terdapat restoran-restoran orang Islam dibuka lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan MBM.

“Ramai yang mendakwa restoran-restoran makanan orang Islam dibuka le-bih awal dan kami bimbang ia akan menggalakkan lagi orang Islam yang tidak berpuasa membeli makanan di restoran terbabit,” katanya.

Beliau turut memberitahu, MBM harus mendedahkan waktu sebenar tempoh operasi restoran-restoran orang Islam agar ia tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat.

“Ia amat penting kerana ada pengusaha restoran ini lebih mementingkan keuntungan dan berani mengambil risiko menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa,” ujarnya.

Tambahnya, pemantauan rapi JAIS di restoran-restoran makanan Islam mampu memastikan pengusahanya menghormati bulan Ramadan seterusnya mengelakkan mereka menjual makanan secara terbuka kepada orang Islam yang berpuasa.

“Kita tahu ada sesetengah orang Islam yang tidak berpuasa kerana keletihan selepas bekerja namun jika mereka membeli makanan dan makan secara terbuka, ia tindakan yang salah,” katanya.

Beliau turut memberitahu, gerai-gerai kecil yang diusahakan peniaga Islam tetapi berniaga dalam restoran orang bukan Islam juga perlu dipantau rapi oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kebiasaannya tempoh restoran-restoran dibenarkan beroperasi bermula dari jam 3 petang namun jika ia dibuka awal seterusnya menjual makanan kepada orang ramai, agensi berkaitan perlu memantau kegiatan restoran terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, umat Islam di sini turut meragui operasi restoran-restoran Islam yang dipercayai dibuka lebih awal sedangkan restoran-restoran Islam lain dibuka pada sebelah petang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan