Anggota polis menjalankan siasatan di tempat seorang pelesit rempit ditembak
KUALA LUMPUR – Sekumpulan enam pelesit rempit bukan sahaja kempunan untuk menikmati hasil samun, malah salah seorang mereka cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan polis dalam kejadian di Jalan Langkawi, Setapak di sini semalam.
Kejadian pukul 5 pagi itu berlaku apabila kesemua suspek yang menaiki beberapa buah motosikal tersebut cuba menyamun seorang ahli perniagaan yang baru pulang ke rumah selepas makan tengah malam bersama rakan-rakannya.
Difahamkan, suspek disyaki pelesit rempit selepas polis mengesyaki kumpulan itu merupakan golongan yang sama pernah terlibat dalam beberapa kejadian samun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an tersebut cedera dibelasah pelesit rempit yang bersenjatakan besi dan parang.
“Suspek kemudian bertindak ganas apabila memecahkan cermin kereta Proton Perdana yang dipandu mangsa sebelum membelasahnya.
“Beberapa anggota polis yang sedang meronda telah terserempak dengan kejadian itu sebelum melepaskan tembakan amaran ke udara tetapi tidak diendahkan oleh suspek,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan