Rabu, 8 Ogos 2012

Penanam Kelapa Sawit Nikmati ‘Durian Runtuh’

Ladang Kelapa Sawit

KUCHING: Penduduk-penduduk di kawasan Gedong dan Simunjan yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit mendapat ‘durian runtuh’ tahun ini apabila menerima dividen interim berjumlah RM1,140,600 juta.

Dividen yang dibayar kepada pemegang syer, Sadong Wibawa Bhd itu merupakan dividen tahunan sempena menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Majlis penyampaian dividen kepada pemegang syer terbabit disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis berbuka puasa di kediamannya, Demak Jaya di sini malam kelmarin.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.

Sehubungan itu, Mohd Naroden memberitahu tahun ini setiap peserta skim kelapa sawit di kawasan Gedong dan Simunjan menerima dividen RM300 (satu syer).

Beliau berkata dividen itu akan dibayar kepada seramai 3,802 orang peserta terbabit di kedua-dua kawasan (Gedong dan Simunjan) dalam masa terdekat ini.

“Kita berharap dengan pemberian dividen itu maka penduduk-penduduk terlibat dapat meraikan sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna,” katanya.

Mohd Naroden menarik perhatian bahawa dividen interim tahun ini meningkat berbanding tahun lalu dengan pembayaran sejumlah RM784,750 untuk seramai 3,139 pemegang syer.

“Tahun lalu (2011) seorang pemegang syer mendapat dividen interim sejumlah RM250 dan naik RM50 pada tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian sumbangan untuk anak-anak yatim Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak.

WABHA Group Sdn Bhd menghulurkan sumbangan berjumlah RM20,000, manakala sumbangan turut disampaikan oleh Pembinaan MASRAFAN Sdn Bhd dan Liga India Muslim Kuching.

Turut diadakan penyampaian sumbangan untuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Sarawak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan