Suspek utama diiringi oleh polis untuk mencari bahan bukti di kawasan rumahnya di Jalan Deshon, Sibu
SIBU: Penyiasatan kes pembunuhan pengurus bank, Stephen Wong semakin rancak apabila polis menemui sebuah tempayan yang dipercayai tempat suspek utama cuba menghapuskan bahan bukti.
Di dalam tempayan tersebut terdapat abu gambar-gambar dipercayai gambar mangsa dan gambar rumah mangsa yang ditemui di rumah suspek utama di Jalan Deshon pagi semalam.
Suspek utama berumur 24 tahun itu sekali lagi mengiringi polis ke rumahnya buat kali kedua untuk mencari tempayan tersebut yang juga mengandungi kabel wayar terbakar. Kini tempayan itu sudah disimpan di Balai Polis Sentral.
Bekas abu di dalam tempayan dipercayai gambar rumah mangsa dan rumahnya
Polis percaya gambar-gambar yang dicetak menggunakan kertas itu digunakan oleh suspek dalam rancangan pembunuhan Wong.
Kini polis sedang menyiasat siapakah yang sebenarnya memberi gambar-gambar tersebut kepada suspek utama.
Sehingga kini, polis telah menahan enam orang suspek termasuk isteri Wong, teman lelakinya dan empat lelaki lain bagi membantu siasatan polis.
Dalam laporan akhbar sebelum ini, salah seorang daripada suspek telah mengaku melakukan pembunuhan itu. Wong telah dibunuh dengan kejam di atas katil bilik tidurnya pada Jun 14 sekitar jam 1.30 pagi.
Menurut laporan pakar patologi, Wong telah meninggal dunia disebabkan tikaman dan libasan di bahagian dada, leher dan perut serta kesan luka di kedua-dua belah tangannya dipercayai cuba mempertahankan dirinya ketika diserang.
Wong disahkan telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidurnya apabila pihak polis tiba di tempat kejadian.
Hanya isteri dan anak mereka berusia tiga tahun berada di rumah pada masa itu. Isteri Wong memberitahu polis dia terjaga apabila terdengar bunyi bising semasa suaminya bergelut dengan penceroboh berkenaan.
Menurut isteri mangsa, dia ada ternampak bayang-bayang seseorang yang lari dari bilik tetapi tidak jelas kerana keadaan gelap pada masa itu.
Apabila isteri mangsa menyalakan lampu, penceroboh sudah berjaya melarikan dirinya dari situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan