Sabtu, 18 Ogos 2012

Rampasan Terbesar Tahun Ini

Law (dua kiri) dan beberapa pegawai polis memeriksa mercun yang dirampas

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak berjaya merampas 513 kotak mercun serta bunga api bernilai RM250,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah kosong di sini lewat petang kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar tahun ini hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Berpandukan maklumat orang awam serta risikan, JSJ dari IPK bersama IPD telah menyerbu sebuah rumah kosong di Jalan Datuk Stephen Yong dan menemui sebuah kontena sepanjang 40 kaki.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai kira-kira 513 kotak mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM250,000.

“Semasa serbuan dijalankan juga mendapati separuh daripada kotak-kotak mercun tersebut telah dipunggah dan separuh lagi masih berada di dalam kontena,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung rampasan tersebut di sini, semalam.

Law berkata, seramai enam lelaki iaitu lima daripadanya dipercayai warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

“Dalam serbuan tersebut, kita juga berjaya menangkap enam lelaki dan kita percaya seorang daripadanya adalah pemilik (barang rampasan) manakala lima lagi adalah pekerja.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia 20 hingga 39 tahun dengan lima daripada mereka adalah warganegara asing,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan dan setelah selesai kami akan rujuk kepada peguam kanan persekutuan.

“Jika disabitkan kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya lagi, lima warga asing tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, Law memberitahu, pihaknya juga merampas mercun bernilai kira-kira RM3,000 dari dua kawasan berasingan iaitu di Bazar Ramadan Kota Sentosa dan Sukma Ria.

Bagaimanapun, menurut beliau, tiada tangkapan dilakukan kerana suspek berjaya melarikan diri.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, Ketua JSJ Kuching DSP Goh Tian Soon dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Kuching DSP Amihizam Abdul Syukur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan