Jumaat, 17 Ogos 2012

Reman Dua Suspek Kes Bunuh Dilanjut Tujuh Hari

Suspek Pertama: Seorang jurujual kereta diiringi polis dibawa masuk ke mahkamah

SIBU: Dua suspek kes pembunuhan seorang pengurus bank di bilik tidur rumahnya di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Jun lepas dilanjutkan tempoh reman selama tujuh hari lagi oleh Mahkamah Sibu, semalam.

Salah seorang daripada suspek itu adalah merupakan isteri kepada mendiang Stephen Wong Jing Kui, 31, yang dibunuh dengan kejam sekitar jam 1.30 pagi.

Seorang lagi suspek adalah lelaki berbangsa Cina yang bekerja sebagai jurujual kereta di sini. Lelaki berkenaan dipercayai adalah ‘kekasih gelap’ isteri kepada mangsa bunuh tersebut.

Perintah tahanan reman yang dibuat semalam adalah bagi membantu pihak polis untuk membuat siasatan lanjut berkenaan dengan kes.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Suspek Kedua: Isteri mangsa diiringi polis dibawa masuk ke mahkamah

Suasana di lobi mahkamah semalam dipenuhi oleh orang ramai yang terdiri daripada ahli keluarga suspek dan orang awam yang ingin mengikuti perkembangan kes pembunuhan itu.

Pada 14 Jun lalu, seorang pengurus bank dilaporkan ditemui oleh isterinya dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah di atas lantai dekat katilnya di tingkat atas rumah mereka.

Pada 10 Ogos lalu, pihak polis telah membuat tangkapan suspek pertama iaitu seorang penjual kereta berusia 26 tahun.

Sementara itu, isteri mangsa yang berusia 31 tahun itu ditahan Ahad lalu di Kuching sebelum dibawa ke Sibu dan direman selama lima hari.

Dan pagi kelmarin pula, IPK Sarawak dengan kerjasama pihak polis dari Bukit Aman berjaya menahan empat lagi suspek kesemuanya lelaki berumur 24 hingga 43 tahun.

Tahanan reman ke atas kedua-dua suspek bermula semalam sehingga 22 Ogos ini adalah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan