Sabtu, 18 Ogos 2012

Senjata Utama Kes Bunuh Wong Masih Belum Ditemui


SIBU: Polis hanya menemui sepasang seluar, stokin dan kasut iaitu antara pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek utama melakukan pembunuhan seorang pengurus bank di bilik tidur rumahnya pada 14 Jun lalu.

Namun, senjata utama pembunuhan belum dijumpai ketika suspek utama berumur 24 tahun mengiringi pasukan polis ke rumahnya di Jalan Deshon sekitar jam 9.30 pagi semalam.

Perkembangan terbaharu siasatan lanjut polis berhubung kes pembunuhan tersebut telah merumuskan kemungkinan satu plot yang didakwa dirancang oleh isteri si mati yang berusia 31 tahun bersama seorang jurujual kereta yang juga merupakan kekasih gelapnya berumur 26 tahun.

Menurut sumber, empat suspek termasuk suspek utama yang ditahan oleh polis awal pagi Rabu lalu dipercayai telah diupah untuk membunuh mangsa dengan bayaran yang dianggarkan melebihi RM30,000.

Pembunuhan Stephen Wong Jing Kui, 31, telah dilakukan kelihatan seperti rompakan namun siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pecah rumah

Wong mati dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam di dalam bilik tidur di rumahnya di Jalan Ulu Sungai Merah sekitar jam 1.30 pagi hari berkenaan.

Isteri mangsa kemudiannya menghubungi bapa saudaranya dan memberitahu penceroboh telah membunuh suaminya.

Hasil usaha gigih pihak polis dalam melakukan siasatan kes pembunuhan itu membawa kepada penangkapan seorang jurujual kereta pada Jumaat lepas.

Isteri mangsa turut ditahan keesokan harinya sebelum pihak polis menahan empat orang lagi suspek secara berasingan pada awal pagi Rabu lalu.

Semalam, tempoh reman isteri si mati dan seorang jurujual kereta telah dilanjutkan kepada 22 Ogos bagi membantu siasatan dalam menyelesaikan kes bunuh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan