MUMBAI - Aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) didenda sebanyak 100 rupee (RM5.59) selepas dia mengaku bersalah di sebuah mahkamah di Jaipur pada Rabu lalu kerana menghisap rokok di tempat awam semasa satu perlawanan kriket, menurut portal berita Business Of Cinema kelmarin. Denda itu lebih rendah daripada harga sekotak rokok miliknya.
Menurut agensi berita Press Trust of India (PTI), Majistret SC Godara membenarkan Shah Rukh Khan membayar denda berkenaan menerusi peguamnya.
Shah Rukh Khan merupakan pemilik bersama kelab kriket Kolkata Knight Riders.
Dia menghisap rokok pada 8 April lalu semasa satu perlawanan antara kelabnya dengan Rajasthan Royals di Stadium Sawi Man Singh.
Pengendali Akademi Kriket Jaipur, Anand Singh mengemukakan aduan mahkamah terhadap Shah Rukh Khan pada 9 April lalu berdasarkan gambar yang disiarkan beberapa akhbar.
Gambar itu menunjukkan Shah Rukh Khan menghisap rokok semasa perlawanan berlangsung.
Anand memohon tindakan dilakukan terhadap bintang filem itu di bawah Akta Larangan Merokok Rajasthan tahun 2000 yang melarang rokok dihisap di tempat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan