Isnin, 6 Ogos 2012

Warga emas cedera ketika bergelut dengan peragut

Gambar Hiasan

KUCHING: Warga emas berusia 71 tahun yang menjadi sasaran peragut di hadapan rumahnya sendiri di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya, malam kelmarin, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan siku setelah terjatuh akibat cuba bergelut untuk mempertahankan beg tangannya.

Wanita berkenaan yang terdahulunya menghadiri sesi kebaktian di gereja bersama anak saudaranya baharu tiba di rumah apabila insiden sekitar jam 10 malam itu berlaku, ketika mahu menutup pagar rumah apabila seorang lelaki meluru ke arahnya dan cuba merampas beg tangannya.

Walaupun cuba mempertahankan beg tangannya, mangsa yang turut menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan, terpaksa melepaskannya juga setelah terjatuh apabila beg itu ditarik dengan kuat.

Lelaki berkenaan, bersama seorang penunggang motosikal kemudiannya memecut meninggalkan tempat kejadian sebelum jiran-jiran mangsa sempat mengejar mereka.

Antara barangan yang terkandung dalam beg tersebut adalah wang tunai sekitar RM100, beberapa dokumen peribadi seperti kad pengenalan dan telefon bimbit. Mereka seterusnya membuat laporan di balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut sumber, seorang wanita yang tinggal di Jalan Urat Mata juga hampir menjadi mangsa ragut pada malam yang sama, dipercayai oleh lelaki-lelaki yang sama.

Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar institut dandanan mengalami kerugian RM700 dan cedera di beberapa bahagian badan setelah disamun sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Pelajar berusia 25 tahun itu diserang oleh enam orang lelaki sekitar jam 3.30 pagi di luar pusat hiburan di Batu Tiga, di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan