Anggota polis mengusung keluar mayat Fazlie dari kamar Mahkamah
MELAKA – Suasana tenang di Mahkamah Majistret 1 di Kompleks Mahkamah Melaka semalam bertukar menjadi gempar apabila seorang tertuduh lelaki tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia di luar kandang tertuduh.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, seorang tertuduh, Fazlie Khamis, 28, yang menghadapi pertuduhan memiliki heroin meninggal dunia selepas seorang jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.
Sumber polis memberitahu, sebelum kejadian, Fazlie dibawa ke Mahkamah Majistret tersebut seorang diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan duduk di kerusi di luar kandang pesalah dalam keadaan yang sangat lemah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.
“Bagaimanapun selepas pertuduhan dibacakan, tiada sebarang tindak balas atau pengakuan salah direkodkan dan tertuduh hanya menundukkan mukanya.
“Disebabkan kakitangan mahkamah melihat tertuduh seperti tidak sihat, mereka kemudian menghubungi ambulans sebagai persediaan.
“Pada masa yang sama, tertuduh ketika itu dilihat masih boleh bergerak dan jurubahasa mahkamah kemudian membaca sekali lagi pertuduhan kepada tertuduh buat kali kedua dan tertuduh masih diam,” kata sumber polis itu semalam.
Tambah sumber polis itu lagi, selepas pertuduhan kali kedua dibacakan tidak berapa lama selepas itu, Fazlie kemudian tiba-tiba rebah ke lantai dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati tertuduh telah meninggal dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan