Sabtu, 20 Oktober 2012

Buruh Asing Dipenjara Tiga Bulan Masuk Secara Haram


MIRI: Seorang buruh warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Usrandi Mohammad, 53, dari Kacamatan Lambu, Desa Kaleo, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (4) akta sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditangkap pada 6 Oktober lalu, jam 1.50 petang di hadapan kedai Ngu di Simpang Batu Niah untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh merupakan warga Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan dia memasuki dan tinggal di negeri ini.

Berikutan itu, tertuduh telah ditahan lanjut dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan