Sabtu, 20 Oktober 2012

Pasangan Kekasih Bunuh Anak Dihukum Gantung


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik dan teman wanitanya selepas didapati bersalah membunuh anak wanita itu yang berusia tiga tahun 10 bulan tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu terhadap Tan Peng Tong, 29, dan Wong Mei Ting, 26, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Peng Tong dan Mei Ting didakwa membunuh Jasmine Lee Siew Hui, 3, di rumah No. D-3-15, Blok D, Tingkat 3, Pangsapuri Bayu, Taman Bukit Serdang, Serdang dekat sini antara 12 tengah malam, 1 Mac 2010 dan 7.50 pagi, 14 Mac tahun sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadzillah Begum Abdul Ghani dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, T.L. Chen.

Terdahulu, Chen memohon hukuman ringan dikenakan atas anak guamnya kerana pasangan itu tidak berniat membunuh dan menyesal dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Fadzillah Begum membantah dengan menyatakan terdapat lebih 66 kecederaan pada tubuh anak kecil itu akibat didera menggunakan penyangkut besi dan plastik selain disepak dan dicubit.

Jasmine disahkan mati pada pukul 7.45 pagi selepas dihantar oleh kekasih ibunya kerana tidak sedarkan diri. Mangsa dipercayai mati dua jam sebelum itu. Menyedari sesuatu yang tidak kena berdasarkan kesan-kesan lebam pada seluruh badan mangsa, pihak hospital memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan