Rabu, 10 Oktober 2012

Cetak Rompak Terus Dibanteras

Rampas DVD cetak rompak dari salah sebuah premis yang diserbu semalam

MIRI: Sejumlah 10,000 keping cakera padat digital (DVD) filem cetak rompak bernilai RM59,484 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Miri dalam empat serbuan di empat premis berasingan di sini semalam.

Serbuan pertama dan kedua pagi semalam membabitkan dua premis di emart Commercial Centre manakala dua lagi serbuan yang dibuat pada sebelah petang masing-masing sebuah di kompleks beli-belah Boulevard dan Soon Hup Tower di sini.

Ketua KPDNKK Cawangan Miri Zakaria Awang ketika dihubungi memberitahu, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) B Akta Hak Cipta (AHC) 1987 kerana kesalahan memiliki dan menjual cakera optik cetak rompak.

“Sabit kesalahan, pemilik premis terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara lima tahun bagi setiap salinan langgaran yang dimiliki,” jelas beliau lanjut.

Sementara itu menurut Zakaria, operasi yang bermula jam 11 pagi itu dilancarkan berikutan aduan yang diterima daripada pemilik hak cipta iaitu Multimedia Entertainment Sdn Bhd di Kuala Lumpur.

Katanya pihak pengadu mendakwa beberapa filem cereka tempatan keluaran syarikat mereka telah dicetak rompak dan dijual di premis tersebut.

“Seramai lapan pegawai penguat kuasa KPDNKK Miri dengan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Azizil Hakim Abdul Rahman telah terlibat dalam operasi selama hampir empat jam itu dan dibantu empat wakil pihak pengadu,” ujarnya.

Dalam pada itu menurut Zakaria, pihaknya akan mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk memerangi masalah cetak rompak di bahagian ini.

“Justeru pihak KPDNKK amat memerlukan kerjasama daripada pemilik hak cipta itu sendiri kerana tanpa aduan, kementerian tidak dapat menjalankan siasatan kes,” katanya sambil menambah tanpa aduan maka tiadalah kes.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan