Rabu, 10 Oktober 2012

Pekerja Kilang Perabot Maut Dalam Kemalangan


KUCHING: Seorang pekerja kilang perabot maut dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya pagi semalam.

Mangsa, Houstan Jukat, 25, semasa kemalangan tersebut dikatakan memandu sebuah kereta jenis Proton Wira dari rumahnya di Kampung Git, Jalan puncak Borneo menuju ke tempat kerjanya di pusat bandar sekitar jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, ketika mangsa menuruni jejambat Batu 3 menuju ke Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, sebuah van yang datang dari susur bulatan Batu 3 tibatiba memintas di hadapannya menyebabkan mangsa gagal mengawal keretanya lalu merempuh bahagian tepi van tersebut.

Ekoran impak daripada rempuhan tersebut, kereta mangsa dikatakan terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan keretanya sekali lagi dirempuh sebuah lori sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar dari dalam kereta.

Akibat itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu van dan pemandu lori bersama pembantunya serta seorang penunggang motosikal yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut dilaporkan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS). Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan