Rabu, 3 Oktober 2012

Cubaan Seludup Arak, Rokok RM553,000 Gagal

Tiga lelaki tempatan sedang memunggah arak ke dalam lori di tempat kejadian

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Sarawak sekali lagi berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk minuman beralkohol serta rokok bernilai RM553,000 dalam satu operasi di Sungai Bukit Segaban, Lawas malam kelmarin.

Komander PPM Sarawak ACP Mohd Salleh Mat Jani berkata operasi sempena Ops Landai itu dijalankan di sepanjang tebingan sungai tersebut sekitar jam 8.30 malam Isnin (1 Oktober) lepas hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, seramai lima lelaki warga tempatan turut ditahan dalam operasi tersebut yang diketuai ASP Rizalman Zulkifly dan Inspektor Pangji Eseng untuk mem-bantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat, pasukan kami telah menjalankan operasi di kawasan tebingan sungai Bukit Segaban, Lawas dan mendapati beberapa lelaki sedang memunggah barang dari atas sebuah bot ke dalam dua buah lori.

“Hasil pemeriksaan, pasukan kami menjumpai 125 kotak bir berjenama Tiger, 390 karton bir berjenama Bintang, 88 botol wain berjenama Vella dan 110 kotak mengandu-ngi 60 karton rokok tanpa mempunyai sebarang dokumen yang sah.

“Selain itu, kami turut menahan lima lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 35 tahun untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung operasi tersebut di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin, Bintawa, di sini petang semalam.

Beliau menambah, kesemua rampasan tersebut akan diserahkan kepada pihak kastam dan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan rampasan terbesar tahun ini untuk tempoh Januari hingga Oktober dan merupakan rampasan kedua di Lawas.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM553,300 dan merupakan yang terbesar setakat ini berbanding 16 rampasan yang dilakukan sepanjang tahun ini dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM1.9 juta.

“Selain itu, ini juga merupakan rampasan kedua di Lawas dengan rampasan sebelum ini bernilai RM415,000 sekitar Januari tahun ini,” katanya.

Justeru, beliau dalam sidang media tersebut turut menyeru lebih ramai lagi masyarakat agar tampil menghulurkan maklumat serta bekerjasama dengan pihak polis.

“Kami percaya, barang-barang tersebut telah dibawa dari Labuan untuk diseludup masuk ke negeri ini serta Kota Kinabalu,Sabah.

“Disebabkan itu kita amat mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk me-nyalurkan maklumat kepada kami jika mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara seperti ini,”katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut semalam ialah Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PPM Sarawak DSP Mohd Razlin Abdul Manaf dan Timbalannya ASP Mud Sallam Spawi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan