Rabu, 3 Oktober 2012

Pengusaha Butik Aksesori Dan Pakaian Didakwa Cederakan Isteri

Chik (kiri) bersama dengan peguamnya, Hasanuddin Mohd Yusoff 

IPOH: Seorang pengusaha butik aksesori dan pakaian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan melakukan serangan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Chik Foo Keong, 26, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Amanda Fong Kim Yen, 19, di Butik Amanda & Co, Ipoh Garden South di sini pada 4 petang, 23 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Haslinda Raof menetapkan 31 Okt untuk kes itu disebut semula selepas tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Chik diwakili peguam Dexter Mah Kok Leong, Nur Syaira Othman dan Hasanuddin Mohd Yusoff manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamar Abrar.

Sebelum ini akhbar melaporkan pendedahan rakaman litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Amanda Fong menunjukkan seorang lelaki memukul dan mencederakannya. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan